KITA digalakkan membaca lafaz
Bismillah dalam setiap urusan seharian seperti dalam zikir, doa, bacaan
al-Quran, lebih-lebih lagi ketika mengerjakan solat.
Membaca Bismillah adalah lambang
akidah, betapa Allah amat menyayangi hamba-Nya walaupun kita menderhakai-Nya.
Dia masih mengurniakan kita segala-galanya.
Apabila membaca Bismillah, kita mengisytiharkan diri kita mesti belajar menyayangi sesama manusia. Nilai kasih sayang amat hebat kesannya dalam kehidupan.
Apabila membaca Bismillah, kita mengisytiharkan diri kita mesti belajar menyayangi sesama manusia. Nilai kasih sayang amat hebat kesannya dalam kehidupan.
Sekiranya nilai itu hilang daripada
hati manusia, ia mengundang pelbagai bencana. Kejian demi kejian dan segala
kebiadaban menular gara-gara hilangnya kasih sayang.
Cuba lihat masyarakat jahiliah yang
hancur nilai kemanusiaannya itu mula berubah sekelip mata apabila iman dibawa
Rasulullah mengajar cinta dan kasih sayang.
Golongan tua perlu hormat kepada
orang muda, si kaya simpati dengan si miskin sementara yang berkuasa menghormati
golongan lemah.
Malah, sifat saling memberi
keutamaan kepada orang lain itu begitu takjub hingga tidak pernah direkodkan
dalam sejarah. Bukan saja sesama manusia malah terhadap haiwan juga.
Semua rahmat Allah mula mengalir
dalam sanubari insan. Lantaran itu bagi memulakan sesuatu kebaikan, saling
menghormati dan apa saja kebaikan mesti bermula dengan mencintai Allah.
Seorang mukmin juga perlu sentiasa
memelihara lidahnya daripada mengeluarkan perkataan keji, mencela dan melaknat
orang lain, malah berhati-hati sepanjang masa.
Selain itu, umat Islam juga perlu
bersifat amanah kerana orang yang tidak amanah tidak sempurna imannya. Sabda
Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak
beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Hadis
riwayat Ahmad).
Sekali pun manusia mengaku dirinya
beriman dan beragama tetapi khianat itu menjadi pakaiannya, segala perintah
Allah diabaikan serta larangan-Nya ‘dilanggar’.
Seorang mukmin sejati perlu
memandang semua orang beriman itu sebagai saudaranya. Kita perlu saling
menghormati, menasihati dan menerimanya dalam apa keadaan.
Orang yang tidak boleh menerima
nasihat atau tidak mahu menasihati saudaranya dinodai nafsunya. Mereka yang
suka bermusuhan sesama mukmin bukanlah daripada kalangan mukmin sejati.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin
Amru bin al-As, katanya: “Seseorang sudah bertanya Rasulullah: Apakah
sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya” (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Allah pernah menunjukkan marah-Nya
pada kaum terdahulu seperti kaum Nabi Nuh lalu didatangkan banjir besar selama
berbulan-bulan.
Kepada kaum Nabi Luth yang melakukan
hubungan homoseksual, Allah tunjukkan juga marah-Nya dengan menterbalikkan
permukaan bumi ke bawah dan menaikkan segala isi yang berada di dasar ke
permukaan. Kesan dan tandanya masih boleh dilihat di Jordan sehingga kini.
Allah juga tenggelamkan Firaun dan
Qarun kerana keegoan mereka. Justeru, sekiranya kita ingkar, tidak mustahil
juga kita pasti menerima nasib yang sama seperti golongan yang dinyatakan itu.
Mohonlah kepada Allah supaya kita sama-sama
dijauhkan daripada segala bentuk malapetaka dan bala. Semoga Allah mengampunkan
dosa kita dan mengurniakan barakah dan rahmat ke atas bumi yang kita diami ini.
No comments:
Post a Comment