SEKADAR RENUNGAN KEPADA WARGA SEKOLAH KEBANGSAAN TEPUS daripada blog seorang Profesor mengenai “RASUAH MASA” dan KETETAPAN MASA.sama-sama kita amalkan di sekolah kita.
Alhamdulillah, saya sempat menyampaikan kuliah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Khalayak tidaklah sampai memenuhi auditorium besar di fakulti Ekonomi dan Perniagaan tetapi ia sudah memadai untuk saya menyampaikan pandangan bagi membolehkan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Inilah yang akan menjadi bekal sebelum ditempatkan ke syurga Firdaus, InsyaAllah.
Hari ini juga saya menerima gaji terakhir sebagai staf UiTM.
Saya bermula dengan pendapatan di sekitar RM1500/sebulan pada 1988. Ia jumlah besar buat anak muda yang baru berusia 25 tahun. Selepas 23 tahun, saya meninggalkan UiTM dengan jumlah pendapatan akhir bernilai 10x ganda. Hampir RM15000/sebulan.
Jika pendapatan lain seperti bonus, mengajar sarjana, menjadi pemeriksa dalam dan  luar yang dibayar, elaun perjalanan, makan, loging semasa bertugas di luar kawasan, maka jumlah gaji tersebut meningkat tanpa disedari. Ia jumlah pendapatan yang selesa buat orang biasa-biasa seperti kami sekeluarga.
Malah ia jauh lebih selesa berbanding dengan ramai yang lain.
Dalam tempoh 5 tahun yang lampau sahaja, jumlah terkumpul yang telah dibayar oleh UiTM di atas jawatan saya melebihi 1/2 juta. Secara relatif, ia jumlah yang sangat besar.
Besar atau kecil jumlah pendapatan yang diterima, isu yang lebih utama ialah soal “halal-haram” bagaimana rezeki itu diperolehi. Di sisi Allah, itulah yang lebih penting dan mustahak.
Ayah saya selalu berpesan, “Mil, kita selalu mengatakan penguatkuasalah yang sering menerima rasuah. Kita – guru – juga tidak terlepas dalam soal rasuah. Lebih teruk lagi, kita menerima rasuah tetapi tidak sedar yang kita melakukan perbuatan keji itu. Bagaimana? Kita rasuah masa. Patut mengajar jam 8.00 pagi, sengaja masuk kelas jam 8.10″.
Saya tidak terkecuali.
Dalam tempoh 23 tahun berkhidmat barangkali saya juga melakukan rasuah masa terhadap amanah yang telah diberikan. Ada masanya saya tidak sedar dengan perilaku sendiri.
Ia seolah-olah bukan satu kesalahan besar.
Ayah juga berpesan, “Mil, kita pasti melakukan kesalahan. Sedar atau di luar sedar. Sebab itulah jangan terlalu berkira bila bekerja. Bila bos suruh kita melakukan kerja-kerja membantu pejabat tanpa bayaran, anggaplah ia sebagai satu peluang untuk membersihkan diri dari kekurangan yang telah kita lakukan”.
Ayah seorang guru besar. Beliau telah melalui fasa kehidupan yang sangat panjang. Banyak kata-kata hikmatnya yang melekat di hati sanubari.
Lalu saya merenung UiTM yang bakal saya tinggalkan. Di sinilah saya dianugerahkan dengan sumber pendapatan yang telah menghidup dan membesarkan isteri dan anak-anak.
“Ya Allah, jika ada rezekiku yang haram, Kau sucikanlah. Ya Allah, aku manusia lemah, fakir lagi tidak terdaya. Kami bergantung kepada Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah”.
Gaji dan bonus terakhir ini hanya secalit daripada jumlah pendapatan yang diberi oleh Allah SWT melalui UiTM. “Kami bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberi oleh Mu ya Allah”.


No comments:

Post a Comment