KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA


KITA digalakkan membaca lafaz Bismillah dalam setiap urusan seharian seperti dalam zikir, doa, bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi ketika mengerjakan solat.
Membaca Bismillah adalah lambang akidah, betapa Allah amat menyayangi hamba-Nya walaupun kita menderhakai-Nya. Dia masih mengurniakan kita segala-galanya.

Apabila membaca Bismillah, kita mengisytiharkan diri kita mesti belajar menyayangi sesama manusia. Nilai kasih sayang amat hebat kesannya dalam kehidupan.
Sekiranya nilai itu hilang daripada hati manusia, ia mengundang pelbagai bencana. Kejian demi kejian dan segala kebiadaban menular gara-gara hilangnya kasih sayang.
Cuba lihat masyarakat jahiliah yang hancur nilai kemanusiaannya itu mula berubah sekelip mata apabila iman dibawa Rasulullah mengajar cinta dan kasih sayang.
Golongan tua perlu hormat kepada orang muda, si kaya simpati dengan si miskin sementara yang berkuasa menghormati golongan lemah.
Malah, sifat saling memberi keutamaan kepada orang lain itu begitu takjub hingga tidak pernah direkodkan dalam sejarah. Bukan saja sesama manusia malah terhadap haiwan juga.
Semua rahmat Allah mula mengalir dalam sanubari insan. Lantaran itu bagi memulakan sesuatu kebaikan, saling menghormati dan apa saja kebaikan mesti bermula dengan mencintai Allah.
Seorang mukmin juga perlu sentiasa memelihara lidahnya daripada mengeluarkan perkataan keji, mencela dan melaknat orang lain, malah berhati-hati sepanjang masa.
Selain itu, umat Islam juga perlu bersifat amanah kerana orang yang tidak amanah tidak sempurna imannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Hadis riwayat Ahmad).
Sekali pun manusia mengaku dirinya beriman dan beragama tetapi khianat itu menjadi pakaiannya, segala perintah Allah diabaikan serta larangan-Nya ‘dilanggar’.
Seorang mukmin sejati perlu memandang semua orang beriman itu sebagai saudaranya. Kita perlu saling menghormati, menasihati dan menerimanya dalam apa keadaan.
Orang yang tidak boleh menerima nasihat atau tidak mahu menasihati saudaranya dinodai nafsunya. Mereka yang suka bermusuhan sesama mukmin bukanlah daripada kalangan mukmin sejati.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As, katanya: “Seseorang sudah bertanya Rasulullah: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Allah pernah menunjukkan marah-Nya pada kaum terdahulu seperti kaum Nabi Nuh lalu didatangkan banjir besar selama berbulan-bulan.
Kepada kaum Nabi Luth yang melakukan hubungan homoseksual, Allah tunjukkan juga marah-Nya dengan menterbalikkan permukaan bumi ke bawah dan menaikkan segala isi yang berada di dasar ke permukaan. Kesan dan tandanya masih boleh dilihat di Jordan sehingga kini.
Allah juga tenggelamkan Firaun dan Qarun kerana keegoan mereka. Justeru, sekiranya kita ingkar, tidak mustahil juga kita pasti menerima nasib yang sama seperti golongan yang dinyatakan itu.
Mohonlah kepada Allah supaya kita sama-sama dijauhkan daripada segala bentuk malapetaka dan bala. Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan mengurniakan barakah dan rahmat ke atas bumi yang kita diami ini.

Makin ramai anak abaikan ibu yang semakin tua!


Siapa yang masih ada ibu, jagalah mereka sebaik mungkin, sebelum terlambat.

‘Kerana mak tiada ganti’
20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: “Tolong pakaikan lampin mak...Hubungi mak saudara suruh bantu kamu kalau boleh. Siapkan makan dia,” tulisan tangan yang dijumpai di papan putih atas meja komputer dituju kepada anak lelaki seorang wanita uzur dipercayai ditulis seorang jiran prihatin.
Papan putih bersaiz kecil itu turut disertakan nombor telefon seseorang yang mungkin mudah dihubungi jiran sekiranya terjadi perkara tidak diingini kepada Rahamah Ismail, 73, ketika ditinggalkan sendirian pada waktu pagi hingga tengah malam.
“Saya rindu dengan cucu lelaki yang tidak pernah jumpa selepas anak bercerai dengan isterinya dan pindah ke Terengganu.
“Anak saya kerja dari pagi sampai lewat malam baru balik, anak tiri pula jauh dan sudah berkeluarga. Tinggal pula jauh, ada datang menjenguk sekali sekala dan hulur wang,” kata Rahamah ketika ditemui semalam.
Keadaan fizikalnya yang uzur, membongkok dan terpaksa dibantu sepanjang masa untuk mengurus diri selain tidak larat membuat kerja rumah menyebabkan seorang jiran warga asing menghulur bantuan kepadanya sejak dua tahun lalu.

PEPERIKSAAN UPSR 2012

Keputusan UPSR SK.Tepus Tahun 2012.
Tahniah kepada semua 7 pelajar UPSR SK.Tepus 2012.
Walaupun berlaku sedikit penurunan pada tahun ini, Kami warga sekolah sekali lagi berbangga dengan keputusan pada tahun ini. SK.Tepus masih kekal no.1 menjuarai dengan GPS di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Dungun.Manakala  peringkat Negeri Terengganu menduduki ranking ke-7 negeri, berkongsi dengan SK.Kg.Jaya Setiu dan SK.Rantau Petronas,Kerteh.

Lebih membanggakan pada tahun ini, kesemua 7 calon UPSR memperolehi A dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Melayu Penulisan dan 6A1B untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman.

Sekalung tahniah kepada semua warga sekolah, terutama guru-guru mata pelajaran UPSR. Kunci utama kejayaan yang diperolehi tidak lain tidak bukan adalah semata-mata kerana kerja ikhlas kita selama ini semata-mata kerana Allah dan budaya amalan kerja sepasukan demi menjayakan visi dan misi sekolah. Mudah-mudahan kerja buat yang diamanahkan sepanjang tahun 2012 akan dirahmati Allah SWT.insyaAllah. Apapun,ALHAMDULILLAH.   



MAKAN MALAM SK TEPUS



Majlis makan malam SK Tepus telah diadakan pada malam 07/10/2012 di kedai Seri Warisan, Kuala Dungun. Majlis dihadiri oleh semua guru-guru, staf dan bekas staf SK Tepus dan juga murid-murid tahun 6 yang akan meninggalkan SK Tepus.Tetamu jemputan pada majlis tersebut ialah Encik Zakariah Bin Ali, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan juga isteri. Semoga program sebegini akan dapat mengeratkan silaturahim antara warga SK Tepus dan menjadi kenangan terindah dalam hidup masing-masing.










HARI ANUGERAH PENDIDIKAN 2012 SK TEPUS






HARI ANUGERAH PENDIDIKAN 2012 SK TEPUS
5 November 2012- Sekolah Kebangsaan Tepus telah mengadakan hari anugerah pendidikan sekolah . Program ini bertujuan memberi suntikan semangat kepada murid-murid supaya berusaha lebih gigih di masa hadapan. Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah  Pertanian Negeri Terengganu Tn. Hj Mohamed bin Abdullah dan juga turut dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan iaitu Encik Mohamad Jusoh mewakili PPD Dungun,Encik Mohd Sabri dan Puan Nurul Hamizah Razali Penolong Pertanian Kawasan Jerangau dan juga tidak ketinggalan Wan Abdul Rahim bin Wan Jalil iaitu mentor fertigasi SK Tepus.